KUALA LUMPUR: Kemudahan-kemudahan kecemasan termasuk penyediaan bot dan jaket keselamatan wajar disediakan di kawasan sekolah, surau atau tempat-tempat awam sebagai persediaan mengurusukan risiko banjir pada masa depan.

Ahli Lembaga Perancang Bandar Malaysia, Ihsan Zainal Mokhtar berkata, ia bagi membolehkan kawasan-kawasan tersebut dijadikan sebagai pusat menyelamat sekiranya bencana alam tersebut berlaku.

Katanya lagi, apa yang berlaku baru-baru ini menunjukkan negara tidak bersedia dengan pendekatan untuk menghadapi banjir pada tahap yang buruk. 

"Selain itu, saya rasa utama sekali ialah sistem amaran. Kita ada sistem amaran itu tetapi sekarang ini dengan teknologi, kita patut boleh memberitahu melalui sistem telefon secara segera.

"Jadi kita ada sistem penggera telefon dan tempat-tempat yang akan memberi respons kepada keselamatan ini. Ini dapat membantu, contohnya polis dan bomba dengan menyediakan tempat-tempat yang boleh dibawa segera, (termasuk) ke sekolah atau surau yang kita kenal pasti di peringkat awal lagi.

"Tetapi kalau kita ada pun (kemudahan itu) tetapi orang awam tak tahu, tak guna juga... Jadi, tempat-tempat yang berisiko tinggi banjir, dan kita kena tahu tempat-tempat tersebut, dan perlu diberitahu dengan kadar yang segera," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ihsan Zainal mengakui bahawa Malaysia boleh mewujudkan landskap telap air untuk 'hidup dengan banjir'.

Jelas beliau, kaedah tersebut termasuk mengambil kira reka bentuk pembinaan rumah yang lebih tinggi, dengan mengambil contoh rumah-rumah tradisional yang didirikan berdekatan sungai dan laut.

"Jadi, dalam aspek yang moden, apa salahnya kalau kita memikirkan kawasan-kawasan yang kerap kena banjir, reka bentuk itu mengambil kira supaya rumah itu ditinggikan untuk rumah yang individu dan kawasan-kawasan yang kita kenal pasti itu, mestilah lebih tinggi daripada paras banjir yang biasa.

"Jalan-jalan utama yang menghubungkan kawasan-kawasan perumahan ini dan kawasan yang lain juga perlu lebih tinggi dan selamat.

"Jadi, living with flood ini termasuk juga konsep-konsep di mana Belanda contohnya, dia (negara itu) memang di bawah para laut, jadi mereka telah menguruskan tanah dengan baik dan menyediakan pam-pam air," ujarnya.

Bagaimanapun, tegasnya perancangan tersebut juga tidak seharusnya menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Dalam masa yang sama, Ihsan Zainal menambah selain penyelenggaran sistem perparitan, penyediaan kolam-kolam takungan di bandar secara komprehensif juga mampu memastikan kawasan itu kalis banjir.